KUALA LUMPUR – Golongan muda perlu memainkan peranan utama dalam memimpin perubahan Barisan Nasional (BN) ke arah era baharu.
Menurut Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh, terdapat segelintir pihak menyatakan bahawa gabungan itu telah ‘mati’ akibat kemerosotan yang dialami.
“Antara sebab utama kemerosotan itu adalah kerana BN telah kehilangan sokongan golongan muda, khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang lalu, di mana keputusan yang diperoleh amat mengecewakan,” katanya.
Namun, Dr. Muhammad Akmal mengucapkan terima kasih kepada semua yang setia membawa perubahan, bukan sahaja dalam negara ini, tetapi juga dalam BN, yang dibuktikan dengan kejayaan merampas kembali DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri dan Mahkota.
“Kita berjaya memperoleh sokongan penuh daripada golongan muda dalam kedua-dua PRK (Pilihan Raya Kecil) tersebut. Maksudnya apa, kalau kita ada iltizam yang kuat dan bawa politik yang betul, pastinya kita mampu untuk memberikan kepercayaan rakyat kepada BN,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pemuda dan Puteri Sempena Sambutan Ulangtahun Jubli Emas Ke-50 BN, di sini hari ini, di mana dalam ucapan ringkasnya, Dr. Muhammad Akmal menegaskan bahawa perubahan dalam arena politik dan BN harus dimulakan oleh generasi baharu dalam gabungan tersebut. – https://amiminerals.org/