Go Green Charity Run Pekema kumpul dana bantu madrasah, asnaf

WhatsApp Image 2024 12 08 at 10.46.50

Mohamed Nazari (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan daripada acara PEKEMA Go Green Charity Run kepada kepada institusi pendidikan Islam seperti Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat dan Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL).

PETALING JAYA – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) telah menganjurkan Go Green Charity Run 2024 khusus bagi mengumpul dana.

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, larian yang diadakan di Cyberjaya itu adalah bertujuan untuk membantu institusi pendidikan Islam seperti Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat.

Dana itu juga katanya akan disalurkan ke Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL) serta kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti.

“Seramai 700 orang telah menyertai larian yang julung kali diadakan ini. Ia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli Pekema, agensi kerajaan, rakan korporat, pihak bank, wakil insurans, asnaf dan lebih istimewa, golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Penyertaan OKU dan asnaf adalah inspirasi kepada kita semua untuk terus berusaha membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazari berkata, selain acara larian, orang ramai turut berpeluang mengunjungi Central Auto Distributors Bhd (CADB) Experience Centre di Cyberjaya iaitu pusat pameran khas yang menampilkan Dongfeng Box iaitu kereta elektrik yang memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

“Acara ini turut memperkukuh hubungan strategik Pekema dengan agensi kerajaan dan rakan-rakan korporat, termasuk sektor perbankan dan insurans.

“Kolaborasi ini menjadi kunci kejayaan Pekema dalam menyokong pembangunan industri automotif negara, selaras dengan matlamat negara ke arah kelestarian dan kemampanan,”ujarnya. -https://amiminerals.org/