GISBH: Tiada yang tampil mengaku anak ketika siasatan – Polis

GISBH

Gambar fail salah sebuah rumah amal yang diserbu pihak berkuasa dalam Op Global di Selangor.

MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, tiada pihak yang ingin memisahkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dengan pihak penjaga atau ibu bapa kandung mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sebaliknya pihak PDRM telah meminta golongan itu tampil membantu penyiasatan untuk mengenal pasti waris sebenar.

Jelasnya, bagaimanapun sepanjang siasatan itu dilakukan tiada mana-mana pihak yang berani tampil dan perkara itu hanya berlaku selepas kertas siasatan dibawa ke peringkat pendakwaan di mahkamah.

“Tiada masalah untuk mengetahui di mana anak-anak cuma, mereka ini bukan dipisahkan tetapi diselamatkan menggunakan undang-undang yang ada perintah mahkamah.

“Sehingga kini terdapat dua hingga tiga lagi kertas siasatan yang akan dibawa ke peringkat pendakwaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penguatkuasaan Atipsom 2024-Awareness To Action: Mobilising Against Human Trafficking and People Smuggling di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan pada Rabu berkata, kerajaan tidak boleh bertindak semberono untuk membebaskan kanak-kanak dikaitkan GISBH kerana kes itu melibatkan pelbagai agensi yang masing-masing mempunyai garis panduan ditetapkan. – https://amiminerals.org/