Gerak solo seludup arak guna Estima, Vellfire

WhatsApp Image 2025 05 13 at 1.59.38 PM

RAUB (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dari minuman keras pelbagai jenama yang berjaya dirampas. – Foto RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Tindakan licik seorang peniaga menyimpan dan mengedar arak tidak bercukai lumpuh selepas polis merampas pelbagai jenis arak bernilai lebih RM300,000 di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mount Austin, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

Beliau berkata, hasil maklumat awam yang diterima, sepasukan pegawai Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman melakukan serbuan di rumah mewah tersebut.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 35 kotak dan 185 karton minuman keras pelbagai jenama yang disimpan dalam rumah serta di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dianggarkan bernilai RM316,595.

“Polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu Toyota Estima dan Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan untuk mengangkut arak tidak bercukai itu,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Menurut Raub, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Raub berkata, salah sebuah MPV itu milik suspek dan sebuah lagi kenderaan sewa manakala rumah yang digunakan untuk menyimpan bekalan arak seludup itu merupakan rumah sewa dengan bayaran sewa RM3,000 sebulan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu secara solo sejak setahun lalu dengan mendapatkan bekalan arak dari kawasan bebas cukai di Forest City, Iskandar Puteri sebelum dijual kepada kedai runcit dan kenalan sekitar Johor Bahru.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau. Suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula Khamis lalu hingga 21 Mei bagi membantu siasatan,”katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kebenaran serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.-https://amiminerals.org/