\’Gatal sangat, tolong saya cari penawar\’

2nd 2

Siti Norhasibah (kiri) menunjukkan kulit anaknya, Muhammad Irman Ezany yang menderita ekzema kronik di rumah mereka di Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Kehidupan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun menjadi tidak keruan akibat penyakit ekzema kronik yang membuatkan kulitnya bukan sahaja ke­ring, malah mudah merekah dan berdarah.

Penyakit yang dideritai Muhammad Irman Ezany Mohd. Izan sejak berusia dua tahun itu semakin kronik sejak akhir-akhir ini sehinggakan dia tidak dapat bersekolah sejak awal sesi persekolahan tahun ini pada bulan Februari lalu.

Ibunya, Siti Norhasibah Mohamed, 36, berkata, luka dan gatal melam­pau dialami Muhammad Irman Ezany itu amat menganggu sesi pembelajaran anaknya yang me­rupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di sini.

“Penyakit ekzema itu bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal anak bongsu saya itu, malah emosinya.

“Pada 1 Syawal baru-baru ini, dia tidak beraya sangat. Banyak berkurung dalam bilik,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kuala Ibai di sini semalam.

Siti Norhasibah berkata, Muhammad Irman Ezany perlu sentiasa memakai pakaian yang bermaterial lembut dan tidak panas bagi mengurangkan kegatalan kulit.

Ibu tunggal yang kematian suami akibat kanser buah pinggang tiga tahun lalu itu berkata, buat masa ini, dia membawa anak bongsunya bersama setiap kali dia menguruskan kedai makan di Batu Burok di sini.

“Kalau cuaca panas, saya akan minta anak bongsu saya itu (Muhammad Irman Ezany) duduk sahaja di dalam kereta yang dipasang pendingin hawa.

“Buat masa ini, dia hanya bergantung ubat hospital termasuk krim yang perlu disapu beberapa kali sehari,” katanya.

Siti Norhasibah berkata, dia berharap anaknya dapat diubati untuk hidup seperti sediakala.