Gagal seludup pelbagai pokok hiasan lebih RM5 juta

WhatsApp Image 2025 05 11 at 14.32.39 5e2c84d4

Sebuah lori membawa pelbagai tanaman hiasan yang ditahan di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah kelmarin. FOTO IHSAN PGA

TANAH MERAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan sindiket untuk menyeludup pelbagai jenis pokok tanaman hiasan yang dianggarkan bernilai lebih RM5 juta selepas menahan sebuah lori di Kampung Lalang Pepuyu di sini kelmarin.

Rampasan itu dijalankan Batalion 9 PGA kira-kira pukul 4.15 petang semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan kampung tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan lori tersebut selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebatang pokok landskap jenis Eugiena, 1,500 pokok pemanjat pagar dan 2,000 pokok Busida yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Pemandu lori tersebut yang berusia 26 tahun bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati, jumlah rampasan termasuk lori tersebut dianggarkan bernilai RM 5.5 juta,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – https://amiminerals.org/