ISKANDAR PUTERI – Aktiviti di Forest City semakin rancak sejak diumumkan sebagai Zon Kewangan Khas , disusuli pula setelah dinaik taraf kepada status pulau bebas cukai dan menawarkan pakej insentif cukai bagi pejabat keluarga tunggal.
Jumlah penduduknya kini melebihi 10,000 orang dan terus bertambah. Bilangan pengunjung pula melonjak tinggi pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum, dengan purata bulanan seramai 730,000 orang.
Rakyat tempatan juga dilihat semakin agresif dalam menunjukkan minat mereka terhadap produk Forest City.
Semakin ramai ahli perniagaan tampil bertanya dan menyatakan hasrat untuk memulakan perniagaan di sini. Ada antaranya bertanyakan tentang unit-unit kediaman dan subsale, proses dan urusan untuk menyewa.
Dalam usaha mengaktifkan serta mempelbagai aktiviti perniagaan dan kewangan, Forest City yang dimajukan oleh Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. itu terus meningkatkan nilai pasaran komersialnya.
Sementara bagi syarikat yang menguruskan pembangunan berkenaan, Country Garden Malaysia Division melihat ada keperluan untuk memperluas operasi komersial di dalam Forest City.
Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasarannya, Fang Fang berkata, infrastruktur sedia ada di Forest City bersedia untuk memenuhi keperluan pelaburan dan juga perniagaan, selari dengan pengumuman Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ).
Menurutnya, terdapat tiga cabang perniagaan utama di Forest City iaitu daerah perniagaan teras (melibatkan pusat kewangan fasa 1 dan hab pengangkutan); daerah perniagaan bebas cukai (melibatkan perniagaan-perniagaan di laluan komersial) dan daerah perniagaan berasaskan komuniti (melibatkan perniagaan di kawasan perumahan).
“Perancangan tiga cabang perniagaan utama ini saling melengkapi, menambah baik susun atur komersial Forest City dan membentuk ekosistem perniagaan organik.
“Daerah perniagaan teras terletak di pusat kewangan Forest City fasa 1 yang menggabungkan pusat beli-belah, ruang pejabat dan kediaman.
“Sementara daerah perniagaan bebas cukai, yang juga dikenali sebagai commercial street menawarkan pengalaman membeli-belah bebas cukai yang unik, seiring dengan pembangunan Pulau Bebas Cukai Forest City.
“Daerah komersial berasaskan komuniti pula terletak di blok kediaman komuniti Forest City. Perniagaan yang dijalankan memenuhi keperluan harian penduduk, pengunjung serta pelancong antaranya kedai runcit, kedai serbaneka, makanan dan minuman, pusat kecantikan dan hiburan,” katanya.
Tambah beliau, rekod jualan bagi unit komersial berasaskan komuniti amat memberangsangkan.
Forest City melancarkan jualan unit komersial Regalia Park pada Ogos lalu, yang mana 80 peratus unit telah terjual dalam tempoh hanya satu jam.
Kejayaan itu disusuli dengan jualan unit komersial Starview Bay pada Oktober, yang merekodkan kadar jualan 90 peratus. Sebanyak 60 peratus pembeli unit-unit komersial tersebut terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura.
Jualan seterusnya melibatkan unit komersial di Ataraxia Park, yang kini dibuka untuk pratempahan. Unit komersial dengan keluasan 775 sehingga 1,916 kaki persegi dengan pajakan itu dilihat mampu memenuhi keperluan perniagaan yang pelbagai.
“Selain itu, terdapat Bangunan Pusat Kewangan Forest City Fasa 1, yang turut dikenali sebagai Menara Carnelian yang merupakan sebuah kompleks perniagaan antarabangsa.
“Terdapat 800 ruang pejabat berukuran antara 43 hingga 289 meter persegi dari tingkat 6 hingga 30 dan tingkat 43 hingga 45. Sementara tingkat 31 hingga 42 menempatkan 300 unit kediaman pangsapuri berukuran antara 35 hingga 119 meter persegi.
“Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang tersedia serta insentif menggalakkan seperti pulau bebas cukai dan juga FCSFZ, Forest City menawarkan pengalaman yang unik dalam zon kewangan ini,” jelas Fang Fang.
Sebarang pertanyaan, boleh diajukan kepada Forest City Hotline di talian +607 505 8888. -https://amiminerals.org/