FFM33: Nik Amir puas hati, Sabri Yunus rasa masih \’muda\’

FFM NIK AMIR SABRI IMAGINUR DUAN

NIK Amir sedar naskhah arahannya, Imaginur bersaing sengit dengan filem Abang Adik dan Sheriff, manakala Sabri Yunus pula berasakan hayat kepengarahannya dalam dunia perfileman masih muda berbanding pengarah-pengarah lain.

KEMBALI dengan edisi ke-33, Festival Filem Malaysia (FFM) yang akan menemui kemuncak malam esok menyaksikan pertaruhan hebat Imaginur karya dan arahan Nik Amir Mustapha mendominasi 15 pencalonan termasuk trofi utama, Filem Terbaik.

Pencapaian awal filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. tersebut walau bagaimanapun tidak memberikan satu jaminan buat Nik Amir pasukannya pulang dengan kemenangan besar.

“Soal kemenangan, saya fikir anugerah seperti ini terpulang kepada barisan juri yang membuat penilaian ke arah genre cerita yang bagaimana mereka pilih nanti.

“Kalau mereka ke arah genre cerita tertentu, kami terima sahaja keputusannya sama ada filem menang atau kalah besar pada malam kemuncak FFM33 nanti,” katanya.

Menampilkan lakonan mantap, Diana Danielle dan Beto Kusyairy, filem Imaginur berjaya mendapat 15 daripada 24 kategori pencalonan pada FFM33 membabitkan kategori seperti Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, Imaginur juga bolos kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.

Imaginur 8
KARYA Nik Amir, Imaginur menyala dengan 15 pencalonan dalam FFM33.

Mengenai persaingan, Imaginur bersaing sengit dengan Abang Adik dan Sheriff tetapi berlainan dalam kategori dan genre. Filem Abang Adik arahan Jin Ong meraih 11 pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan antaranya Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.

“Saya tonton Abang Adik dan rasa karya Jin Ong itu juga filem yang bagus. Begitu juga Sheriff arahan Syafiq Yusof.

“Tanyalah pada semua calon pun pastinya semua berharap filem mereka akan menang tapi kita tunggu sahaja keputusan pada malam kemuncak,” katanya.

Berkongsi kekuatan Imaginur, mungkin ramai penonton berasa dekat dengan jalan cerita filem berkenaan sehingga berjaya meraih kutipan sebanyak RM6 juta pada tahun lalu.

“Hasrat saya buat filem ini memang untuk tontonan rakyat Malaysia. Saya mahu kongsi karya genre filem yang disukai dan tidak biasa disajikan kepada penonton tempatan.

“Kejayaan filem Imaginur diharap dapat menarik lebih ramai lagi penonton untuk menerima genre sains fiksyen romantik selepas ini,” katanya.

Mengulas prestasi barisan pelakon pula, Nik Amir berpuas hati dengan komitmen terbaik teraju utamanya, Beto dan Diana.

“Lakonan Beto dan Diana sangat bagus seperti dikehendaki skrip dan menjiwa karakter serta mereka memang ada bakat semulajadi.

“Dari segi lakonan, mereka memang layak untuk menang kategori pelakon terbaik pada malam FFM 33 nanti,” katanya.

Malam kemuncak FFM33 yang dijadualkam berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media jam 9 malam esok turut menampilkan pengarah senior, Sabri Yunus tercalon sebagai Top Pengarah Terbaik.

sabri yunus
BIARPUN sudah berusia, Sabri Yunus membumi dan berasakan usianya dalam dunia pengarahan filem masih ‘muda’.

Pengarah terbaik

Pencalonan diberikan impak atas sentuhan uniknya menerusi filem Duan Nago Bogho, sebuah karya seni yang memperincikan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan, sekaligus mempamerkan kepekaan Sabri Yunus dalam mengangkat naratiff yang dekat dengan jiwa penonton.

Filem berkenaan tidak hanya menghidupkan warisan budaya melalui visual dan jalan ceritanya, tetapi juga menyampaikan mesej yang relevan kepada masyarakat masa kini.

KARYA Nik Amir, Imaginur menyala dengan 15 pencalonan dalam FFM33.

Pencalonan tersebut menegaskan lagi keupayaan Sabri sebagai pengarah yang mampu menyampaikan kisah-kisah bermakna dengan gaya penceritaan yang memikat.

Sebelum ini, Sabri telah dikenali melalui pelbagai projek kreatifnya yang sering mendapat pujian pengkritik dan kini beliau terus mengukir kejayaan dengan filem ini.

Menurut Sabri, pencalonan tersebut adalah pengiktirafan kepada kerja keras semua yang terbabit.
Baginya, sebuah filem bukan hasil kerja seorang individu, sebaliknya hasil usaha bersama yang membabitkan kolaborasi, komitmen, dan kreativiti berpasukan.

“Sebenarnya saya masih muda sebagai pengarah filem walaupun usia sudah melepasi takrifan muda. Dan saya sangat bersyukur kerana terpilih dalam barisan ke pentas akhir ini.

“Tentunya juga berterima kasih kepada barisan panel yang buat keputusan. Berada dalam senarai ini pun satu pencapaian tertinggi buat saya.

“Saya melihat pengarah-pengarah muda hari ini sangat berkemampuan.

“Setiap pembikin filem muda yang mempunyai impian dan visi untuk berkarya perlu tahu bahawa perjalanan mereka bukanlah sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Menerusi sokongan dan motivasi yang tepat, saya percaya mereka mampu menghasilkan karya-karya cemerlang yang bukan sahaja dapat menarik perhatian penonton, tetapi juga meninggalkan impak yang mendalam dalam masyarakat,” katanya.