Fasa Reka Bentuk ANGKATAN 30 akan terus diperkasa

angkatan atm scaled

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman (tengah) bersama barisan kepimpinan Angkatan Tentera bergambar pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, Port Dickson. – Foto oleh FARIZ RUSADIO

PORT DICKSON – Sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91, Panglima Angkatan Tentera, Jene­ral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menggariskan lapan amanat berlandaskan Sinergi 3M iaitu ‘Man, Machine dan Method’.

Mohammad berkata, amanat pertama melibatkan penumpuan terhadap diplomasi pertahanan akan kekal menjadi mekanisme utama dalam langkah membina keyakinan (confidence building measures) antara rakan strategik serantau dan antarabangsa.

Jelasnya, jalinan persefahaman dan kerjasama yang selari dengan dasar luar negara akan memastikan Gerak Tindak Reformasi ANG­KATAN 30 dilaksanakan dengan berkesan berlandaskan perkongsian yang berwibawa.

“Amanat kedua adalah pe­ngukuhan pertahanan berpadu dan berlapis menerusi strategi cegah rintang bersepadu.

“Kaedah ini menjamin kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. Sekiranya tercabar, model tindak balas angkatan melalui diplomasi, pengesanan, penghindaran, penafian, dan penumpasan adalah pilihan rasional dan berkadaran,” katanya ketika berucap pada sambutan HUT ATM ke-91 semalam.

Mohammad berkata, amanat ketiga adalah pemerkasaan instrumen pertahanan komprehensif me­lalui kolaborasi ATM dan awam akan kekal menjadi keutamaan strategik.

Katanya, pendekatan WOGOS perlu dioptimumkan bagi memastikan kos pertahanan negara seimbang serta dilaksanakan secara efisien.

atm2
Aksi anggota ATM ketika melakukan demonstrasi dinamik pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 di Kem Segenting,
Port Dickson.

“Keempat adalah pema­cuan industri pertahanan negara sebagai entiti pelengkap kepada Reformasi ANGKATAN 30.

“Pembangunan keupayaan AMH tidak boleh hanya bertumpu pada pelaksanaan dalaman, malah memerlukan sokongan daripada industri pertahanan tempatan yang bergerak seiring dengan inovasi dan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Seterusnya Mohammad turut mahu pengemaskinian sistem perintah dan kawalan serta fungsi tugas secara tersusun.

“Langkah ini membolehkan ang­katan beralih ke arah persekitaran operasi pelbagai domain secara efektif.

“Kaedah tersebut menawarkan opsyen ketenteraan yang tangkas dan tuntas serta memberikan keberkesanan kos kepada negara.

Selain itu katanya, ATM juga perlu mempergiatkan transformasi operasi, latihan dan doktrin secara menyeluruh melalui pendekatan Concept Based Doctrinal Driven.

Proses eksperimentasi perlu dilaksanakan untuk memastikan konsep operasi memenuhi keperluan tugas yang ditetapkan.

atm3 scaled
Aksi anggota ATM ketika melakukan demonstrasi dinamik pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 di Kem Segenting,
Port Dickson.

“Pada masa sama, penjanaan kapasiti dan keterampilan warga berlandaskan etos kepahlawanan serta nilai-nilai murni. Pembangunan modal insan yang melibatkan pendidikan dan latihan profesional ketenteraan perlu dipertingkatkan bagi memacu kecemerlangan ketumbukan ANGKATAN 30 kelak,” katanya.

Amanat kelapan dan terakhir katanya adalah peluasan agenda kesejahteraan keluarga ATM dan veteran perlu diberikan penumpuan khusus.

“Aspek kebajikan adalah pemang­kin kepada semangat dan kesetiaan seluruh warga angkatan, baik yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara.

“Sehubungan dengan itu, aspirasi AMH akan dapat dicapai dengan sokongan dan dorongan positif yang diperolehi daripada setiap lapisan warga ATM,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, kesemua amanat yang te­lah digariskan itu kelak akan dijadikan fokus utama sepanjang tempoh pemerintahan beliau.

“Usaha melaksanakan Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30 memerlukan anjakan radikal yang menuntut kita keluar dari zon selesa dan mencabar kefahaman legasi,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *