KEJAYAAN membawa Sri Pahang FC muncul naib juara Piala Malaysia melonjakkan saham legenda Singapura, Fandi Ahmad yang kini dikaitkan bakal menyertai Kuala Lumpur City FC (KL City) mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Di sebalik ketidaktentuan masa depan Tok Gajah, nama Fandi dikatakan menjadi salah seorang calon untuk menggantikan pengendali KL City, Miroslav Kuljanac tetapi buat masa ini ia lebih berkisar kepada khabar angin semata-mata.
Ketika diminta mengulas tentang perkara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, sebarang pelantikan baharu akan dibuat mengikut kemampuan kewangan pasukan.
Syed Yazid menjelaskan objektif utama adalah membebaskan pasukan daripada masalah berulang membabitkan isu tunggakan gaji dan pihaknya akan membincangkan hal itu pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif KLFA yang dijadualkan bersidang Rabu ini.
“Kita kena tengok juga kemampuan kita untuk berbelanja. Mungkin kita akan beri peluang kepada jurulatih tempatan dan apa yang boleh saya katakan ada beberapa calon yang kita sedang nilai.
“Ketika ini kita akan terus berbincang dengan calon untuk dapatkan persetujuan berkaitan gaji. Kita tunggu saja nanti apa hasil yang akan dicapai pada mesyuarat Rabu ini,”katanya.
Fandi pernah meninggalkan legasi besar ketika membantu Kuala Lumpur melakar kejayaan hatrik dalam saingan Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989.
Dari segi pengalaman di Liga M, Fandi antara individu yang cukup masak dengan industri bola sepak di Malaysia, manakala calon tempatan yang dikaitkan dengan jawatan itu adalah bekas pengendali Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC dan Kuching City FC, Sulaiman Hussin.