ABU DHABI – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menyifatkan kehadiran Lewis Hamilton bersama Ferrari musim depan sebagai sesuatu yang ‘gila’ dan sangat mencabar buat dirinya.
Hamilton yang juga merupakan juara dunia tujuh kali, bakal menamatkan tempoh 12 tahun gemilang bersama Mercedes selepas perlumbaan penutup musim di Grand Prix (GP) Abu Dhabi minggu ini sebelum menyertai pasukan Ferrari.
“Bersama Lewis, ia akan jadi sesuatu yang ‘gila’ kerana dia seorang pemandu yang sangat berbakat.
“Dia adalah pemandu paling berjaya dalam Formula Satu (F1), jadi ia akan menjadi cabaran hebat buat saya untuk mengukur kemampuan dalam jentera yang sama.
“Saya teruja untuk belajar daripada Lewis (Hamilton), tetapi pada masa sama mahu tunjukkan kemampuan saya pada musim depan,” katanya.
Dalam pada itu, Leclerc turut memuji kepimpinan Fred Vasseur apabila berjaya membawa pasukan tersebut pada tahap terbaik semula.
“Fred membawa personaliti yang istimewa dan perkara itu bukan mudah untuk dilakukan di Ferrari. Dia sangat tenang dalam menghadapi tekanan dan itu adalah perubahan terbesar yang diperlukan di sini,” kata Leclerc.
Ferrari kini menaruh harapan tinggi pada musim depan dengan kehadiran Hamilton serta peningkatan pasukan dilihat mampu mencabar gelaran musim depan terutama mengatasi pasukan Res Bull. – AGENSI