F1: Ferrari kekal pertahan Hamilton

FOREST

HAMILTON hanya mampu meraih kejayaan terbaik di kedudukan kelima sepanjang lima perlumbaan awal musim ini bersama Ferrari. – AFP

JEDDAH – Prinsipal Ferrari, Fred Vasseur mempertahankan Lewis Hamilton selepas pelumba itu terus dikritik susulan prestasi hambar sejak menyertai pasukan berpangkalan di Maranello itu musim ini.

Hamilton terus dibelenggu prestasi tidak menentu sejak memulakan kempen sulungnya bersama pasukan Scuderia musim ini sekali gus timbul spekulasi mengenai kemungkinan pemandu Britain tersebut bakal bersara awal pada hujung musim 2025.

Meskipun Hamilton hanya mencatat keputusan terbaik di tempat kelima dalam lima perlumbaan pertama musim 2025, Vasseur menegaskan pihaknya memberikan sokongan sepenuhnya kepada juara dunia tujuh kali itu.

“Saya akan beri sokongan 2,000 peratus kepada Lewis. Kami akan duduk bersama, cari punca dan selesaikannya. Tapi sejujurnya, saya tidak terlalu risau.

“Kami sedang bergelut dengan keseimbangan kereta dan bagaimana ia bekerja dengan tayar. Tapi, potensi tetap ada. Kami hanya perlu cari pelarasan yang betul.

“Kami baru menempuh lima perlumbaan. Ini bukan sesuatu yang dramatik untuk mencari tajuk besar dalam laporan berita esok. Ini adalah melibat persaingan, pastinya ada naik dan turunnya,” katanya.

Vasseur memberi contoh prestasi Max Verstappen bersama Red Bull dan turut mengalami prestasi turun naik di awal musim, namun masih mampu muncul juara di Jepun dan pelumba terpantas di beberapa sesi lain.

“Kami bukan juara dunia hanya kerana menang satu perlumbaan dan kami juga bukan gagal hanya kerana prestasi merosot seminggu. Kami sebuah pasukan. Kami akan terus bekerja secara konsisten dan terus bergerak ke depan,” tambahnya. – AGENSI