Erma Fatima, mana kau pergi nak?

ERMA FATIMA HILANG

Erma Fatima

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu keresahan anak gadisnya yang berusia 17 tahun tiba-tiba menghilang sewaktu mereka sekeluarga sedang menjamu selera di sebuah restoran di Batu Buruk di sini pada minggu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, 25 Oktober lalu tersebut, Erma Fatima Shamsul Bahari yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiba-tiba ghaib setelah dikatakan memasuki tandas restoran tersebut.

Roslina Mat Yousop, 40, berkata, pada mulanya, mereka sekeluarga bersarapan di restoran itu sebelum Erma Fatima meminta izin ke tandas.

“Kami mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila dia (Erma Fatima) tidak kembali ke meja makan kami dalam tempoh agak lama.

“Berderau darah saya apabila dia tiada di dalam tandas restoran itu malah kami tidak menjumpainya di kawasan sekitar,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Roslina memberitahu sewaktu hilang, Erma Fatima yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini berpakaian baju, seluar dan bertudung hitam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja tersebut serta meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung Erma Fatima dimohon tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi ibunya, Roslina di talian 014-9035176. – https://amiminerals.org/