LONDON – Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam kelmarin.
Kemenangan itu pastinya memberi kelegaan buat Spurs memandangkan aksi terakhir Liga Perdana sebelum ini menyaksikan mereka terpaksa ‘berputih mata’ selepas akur dengan kekalahan 2-3 kepada Brighton.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou memuji kesungguhan serta kegigihan barisan pemainnya pada perlawanan itu yang melakukan kebangkitan biarpun berdepan tentangan sengit daripada pasukan pelawat.
“Kami terpaksa berjuang habis-habisan di separuh masa pertama kerana bolos lebih awal kepada lawan. Bagaimanapun, kami berjaya kekalkan rentak permainan dan menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.
“Ketinggalan satu gol bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi berdepan West Ham yang memiliki kelebihan fizikal. Bagaimanapun, kami tingkatkan tempo permainan selain memperkemaskan benteng pertahanan,”katanya.
Pada perlawanan itu, West Ham terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Mohammed Kudus sebelum Spurs bangkit hasil jaringan Dejan Kulusevski, Yves Bissouma, Son Heung Min dan gol sendiri Alphonse Areola.
“Saya tahu pasukan ini ada kemahuan cukup tinggi dan sentiasa berjuang untuk mendapatkan kemenangan. Kami bermain di laman sendiri, jadi kami ada kelebihan jika meletakkan mereka dalam tekanan,”ujar Postecoglou. – AGENSI