EPL: Merino sudah ‘selamat’ jadi milik Arsenal

ARSENAL 9

MERINO kembali semula ke England untuk bersama Arsenal apabila sebelum ini dia pernah beraksi untuk Newcastle pada 2017. – FB ARSENAL

LONDON – Pemain buruan Arsenal, Mikel Merino akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Emirates dari Real Sociedad dengan nilai perpindahan sebanyak £33 juta (RM189.72 juta).

Pemain tengah berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Arsenal dan bakal menyarung jersi bernombor 23 bersama pasukan yang berpangkalan di utara London tersebut.

Merino menjadi sebahagian daripada pasukan Sepanyol yang berjaya menjulang kejuaraan Euro 2024 dan berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Luis De La Fuente sepanjang saingan tersebut.

“Mikel adalah pemain yang mampu memberikan Arsenal lebih kualiti menerusi pengalaman dan gaya permainan yang versatil. Dia sentiasa memberikan aksi terbaik di peringkat kelab dan antarabangsa dengan penampilan yang cukup banyak.

“Dia akan membuatkan pasukan ini lebih kuat dengan kemampuan teknikal serta karakter dan personaliti yang hebat di padang. Kami sangat berbangga untuk membawa Mikel dan keluarga menyertai kelab ini dan tidak sabar untuk memulakan kerjasama,” kata Pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Dalam pada itu, Merino dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke laman sosial mengakui sangat gembira apabila perpindahan ke Arsenal menjadi kenyataan.

“Terima kasih dengan sambutan yang diberikan, saya sangat gembira untuk berada di sini. Saya teruja untuk mengharungi musim ini dan berharap dapat membantu pasukan memburu sesuatu yang hebat di sini,” jelasnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *