LIVERPOOL – Lima kemenangan dan sekali seri dalam enam perlawanan terakhir membuktikan bahawa para pemain Liverpool kini semakin serasi dan matang untuk menterjemahkan idea pengendali baharu mereka, Arne Slot.
Sekali pun hanya mampu menang tipis 3-2 keatas Brighton pada aksi Piala Liga Inggeris (EFL), kelmarin, The Reds seperti sudah mampu melupakan era Jurgen Klopp dan cuba mendapatkan identiti baharu.
Berbeza dengan cara Klopp, Liverpool di bawah kendalian Slot menyaksikan intensiti permainan sedikit menurun, namun ketenangan setiap kali melakukan tugasan bertahan dan menyerang masih berpaksikan kualiti yang ada dalam pasukan.
Seperti kebiasaan, saingan liga bakal menyaksikan setiap pasukan akan menurunkan skuad terbaik dan kapten The Reds, Virgil Van Dijk yakin kualiti pasukan mampu tewaskan Brighton buat kali kedua, malam ini.
“Saya fikir ia hanya adalah perbezaan corak permainan dan jika anda lihat kami bermain, anda akan lihat yang kami sedikit terbuka ketika menyesuaikan diri dengan pasukan lawan.
“Pasukan lawan cuba kecewakan kami dengan meletakkan dua atau tiga penyerang, namun kami perlu mencari penyelesaian dan itulah perbezaan yang kami sedang tunjukkan. Begitu juga cara kami bermain ketika tanpa penguasaan bola dan saya fikir itu adalah kunci utama,”katanya.
Selepas terikat dengan Arsenal 2-2, status Liverpool selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris sudah pun dirampas oleh juara bertahan, Manchester City dan kini The Reds seakan tiada jalan lain kecuali mengutip mata maksimum untuk kembali menguasai takhta. – AGENSI