LONDON – West Ham United dilapor sudah menyenaraikan beberapa nama yang berpotensi untuk dilantik sebagai pengurus baharu pasukan menggantikan Julen Lopetegui ekoran kekalahan 1-3 berdepan Leicester City di Stadium King Power awal pagi semalam.
Kekalahan tersebut adalah kali kedua berturut-turut dialami The Hammers selepas mereka turut tewas 2-5 berdepan Arsenal sebelum ini menyaksikan mereka hanya meraih 15 mata daripada 14 perlawanan untuk berada di kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Bekas pengendali Chelsea, Graham Potter, bekas jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic dan bekas pengendali FC Porto, Sergio Conceicao dilaporkan berada dalam senarai yang sedang dipertimbangkan oleh pihak pengurusan kelab.
Lopetegui berdepan pemecatan sejak bulan lalu ketika West Ham bersiap untuk menentang Newcastle United, namun kemenangan pada aksi tersebut berjaya meredakan tekanan, namun dua kekalahan berturut-turut kali ini menyebabkan pengurus tersebut dilihat sukar mempertahankan jawatannya.
Pihak pengurusan kelab tersebut jarang membuat keputusan memecat pengurus mereka pada pertengahan musim, namun hanya empat kemenangan diraih setakat ini selain tujuh kekalahan yang dialami menyebabkan mereka mungkin terpaksa membuat keputusan sukar.
Terzic yang berjaya membawa Dortmund ke final Liga Juara-Juara dilaporkan berada dalam senarai teratas berbanding Conceicao dan Potter yang juga masih belum terikat dengan mana-mana kontrak. – AGENSI