MANCHESTER – Pemain sayap Manchester City, Phil Foden kembali menemui sentuhan jaringan ketika membantu pasukan itu membelasah Sparta Prague 5-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kelmarin.
Justeru, dia berharap dapat mengekalkan sentuhan tajam di hadapan gol menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Stadium Etihad malam ini bagi memastikan The Citizens terus memberi tekanan kepada Liverpool.
Foden berkata, dia sentiasa bekerja keras dalam latihan bagi memastikan penyudahnya kembali ke tahap terbaik selain meluahkan rasa kecewa gagal memulakan saingan musim ini seperti yang diharapkan.
“Saya sedang berada pada fasa untuk kembali mendapatkan sentuhan tajam dalam perlawanan. Diharapkan saya mampu mengubah prestasi menjadi lebih baik dan melakukan sesuatu bagi membantu pasukan.
“Selepas menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara, keyakinan saya sudah semakin meningkat. Saya percaya saya berada pada landasan terbaik untuk kembali mendapatkan prestasi lama,”kata pemain England itu.
Pada masa sama, Foden turut menegaskan, prestasinya ketika ini langsung tidak menggambarkan reputasinya sebagai Pemain Terbaik EPL 2023/24 selain tidak gembira kerana tidak banyak terlibat dalam perlawanan musim ini.
“Selepas mendapat anugerah pemain terbaik tahun lalu, saya sudah meletakkan standard tinggi untuk diri sendiri. Secara jujur, saya sepatutnya sudah kembali ke prestasi terbaik kerana pasukan memerlukan saya,”ujarnya. – AGENSI