LIVERPOOL – Pengurus Everton, Sean Dyche memasang impian untuk mengulangi kejayaan menundukkan Liverpool seperti yang dilakukan pada perhitungan terakhir di Goodison Park pada era Jurgen Klopp, April lalu.
Walaupun kagum dengan prestasi The Reds yang sedang berada pada tahap terbaik di bawah Arne Slot, Dyche merasakan Liverpool tiada banyak beza berbanding apa yang pernah disaksikan semasa pasukan itu di bawah kendalian Klopp.
“Saya fikir terdapat banyak perkara yang mengagumkan, namun saya tidak rasakan dia (Slot) banyak melakukan perubahan. Saya juga tidak tahu bagaimana perjalanan mereka seharian serta latihan.
“Jadi, kami tidak perlu melakukan perubahan ketara kerana mereka masih bermain dengan tempo tinggi, mampu menghadirkan impak dengan cara berbeza. Cumanya transisi mereka dilihat lebih lancar.
“Perubahan yang berlaku di Liverpool dilihat berlaku dengan sempurna, jadi untuk menentang mereka kami perlu berada pada prestasi terbaik,”katanya.
Dyche juga bertegas tidak akan merangka strategi khusus untuk mengekang kualiti Mohamed Salah yang kini sedang mendahului carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.
“Salah adalah pemain berkualiti dan kami juga tahun tentang realiti itu sekaligus perlu lebih berhati-hati. Jika kami beri perhatian kepada seorang pemain, sudah pasti pemain lain juga berkualiti,” ujarnya. – AGENSI