EPL: Arsenal tidak perlukan penyerang baharu

ARSENAL 6

HAVERTZ berjaya meledak satu gol dan mencipta satu umpanan jaringan ketika membantu Arsenal menewaskan Wolves kelmarin. – AFP

LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji sumbangan yang diberikan oleh penyerangnya, Kai Havertz yang meledak satu gol dan mencipta satu umpanan jaringan ketika menewaskan Wolverhampton 2-0 di Emirates kelmarin.

Havertz mula diletakkan di posisi penyerang utama sejak separuh kedua musim lalu dan menjadi pilihan utama berbanding Gabriel Jesus sebelum prestasinya dilihat menonjol dengan tugasan baharu tersebut.

Ia sekali gus menutup spekulasi bahawa The Gunners memerlukan seorang penyerang baharu selepas apa yang dipamerkan oleh Havertz sebagai penggempur utama membuatkan Arteta sangat berpuas hati.

“Setiap pemain memerlukan masa untuk beradaptasi dan mengenali semua rakan sepasukan, kelab dan sistem di sini. Namun, saya fikir keyakinan Kai mula meningkat apabila dia sudah mula bijak mengendalikan situasi dan prestasi yang dipamerkan,” kata Arteta.

Pada aksi tersebut, Havertz membuka tirai jaringan selepas menyudahkan hantaran Bukayo Saka dengan menanduk masuk gol pertama sebelum dia melakukan umpanan untuk rakannya itu melakukan jaringan kedua.

Havertz memulakan kariernya di Emirates dengan penuh kesukaran selepas berhijrah dari Chelsea, namun prestasinya semakin meningkat apabila meledak 10 gol dalam 15 aksi terakhir Liga Perdana Inggeris.

Mengulas mengenai keinginan Arsenal untuk memburu gelaran musim ini, Arteta mengakui beliau memerlukan kesediaan semua pemain untuk mengambil tugasan tambahan daripada para pemain untuk merealisasikannya.

“Bagi aksi kali ini, babak pertama sangat baik apabila kami cukup agresif dan memiliki keinginan besar dan melakukan tugas menyerang dengan penuh fokus. Kami sepatutnya mampu meledak dua atau tiga lagi gol,” jelasnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *