MANCHESTER – Pertahanan Wolverhampton, Rayan Ait-Nouri kini berada dalam radar Manchester United sebagai pelan terbaik untuk memperkuatkan posisi itu.
Ini bukan kali pertama khabar ini wujud, namun ia kembali hangat selepas pemain dari Algeria itu cemerlang memainkan peranan besar buat Wolverhampton.
Malah, The Red Devils juga kini sedang berusaha untuk tambah kekuatan pasukan khususnya di posisi bek kiri selepas mengambil kira rekod kecederaan Luke Shaw.
Pengurus United, Ruben Amorim juga dipercayai memberikan restu kepada perkhabaran ini dengan menjadikan Ait-Nouri sebagai sasaran utama untuk dibawa masuk ke Old Trafford.
“Dengan rekod kecederaan Luke Shaw, ia menghadkan kerjayanya di Old Trafford,”menurut satu laporan yang turut menjangkakan karier Tyrell Malacia bersama United makin hampir ke penghujung.
Walaupun Wolves bergelut dengan prestasi, Ait-Nouri nyata mencuri perhatian dengan nisbah 2.4 terjahan setiap perlawanan, merekodkan 86 peratus ketepatan hantaran dan terbukti ketika melakukan serangan.
Walaupun sudah memberikan peluang kepada Malacia untuk membuktikan kualitinya, Amorim dikatakan kecewa dan anggap sumbangan pemain itu tidak menghadirkan sebarang kesan buat pasukan. – AGENSI