Enggan tertekan status pilihan ketiga

Tang Jie

TANG JIE (kanan) dan EE Wei akan membuka kempen menentang Soon Huat-Shevon di Hangzhou hari ini.

BEREGU campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tetap berwaspada dengan ancaman pemain lawan menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China bermula hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang diundi dalam Kumpulan B bersama satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai percaya setiap lawan memiliki kelebihan tersendiri dan mereka perlu membuat analisis mengenainya.

Tang Jie berkata, dia dan Ee Wei perlu mengeluarkan permainan terbaik memandangkan mereka akan turun sebagai pilihan ketiga kejohanan selain perlu berdepan kelompok lapan terbaik saingan Jelajah Dunia.

“Kami hanya akan melakukan apa yang sudah direncana dalam latihan sebelum mengetahui lawan kami nanti. Walaupun diletakkan sebagai pilihan (ketiga), tidak ada beza kerana kami akan berdepan lapan beregu teratas ranking Jelajah Dunia,”katanya.

Selain Soon Huat-Shevon, beregu No. 8 dunia itu juga akan berdepan wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja serta Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun bagi saingan Kumpulan B.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menganggap anak-anak buahnya mendapat undian seimbang kerana tidak bertemu beregu China.

“Saingan kali ini tetap tidak mudah kerana semua (beregu) tidak ada rekod pertemuan. Saya anggap undian yang dibuat membuatkan ia (saingan) lebih terbuka,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon dapat meloloskan diri ke separuh akhir bagi membuat perhitungan dengan lawan dari Kumpulan A.

Sebagai rekod, dua beregu yang berada di kedudukan teratas setiap kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan separuh akhir pada kejohanan penutup tirai kalendar 2024 itu.