Enam lelaki disyaki curi kabel TM diberkas

Untitled design 2024 12 26T154244.729

Antara peralatan yang dirampas polis berkaitan aktiviti curi kabel.

IPOH – Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat aktiviti curi kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) berhampiran pasar Kampung Baru Gunung Rapat, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 45 tahun itu ditahan bersama peralatan mencuri kabel pada pukul 3.30 pagi.

Katanya, kesemua mereka ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika membuka kawasan lurang (mainhole) di atas jalan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas semua suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang namun pemeriksaan belakang lori telah menemukan beberapa peralatan berkaitan curi kabel.

“Kesemua suspek ditahan bersama barang rampasan seperti tangga aluminium, sebatang kunci pembuka mainhole, tiga gulung tali ‘lump’ pelbagai warna dan dua batang pemotong kabel,”katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal, semakan terhadap nombor pendaftaran lori yang digunakan suspek mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu. – https://amiminerals.org/