Enam kambing dibaham harimau kumbang di Alor Gajah

WhatsApp Image 2024 10 20 at 5.05.19 PM

ENAM ekor kambing milik penternak di Kampung Bukit Tampoi, Melaka ditemui mati dipercayai dibaham harimau kumbang, pagi semalam.

ALOR GAJAH – Penduduk Kampung Bukit Tampoi di sini gempar apabila enam ekor kambing ternakan ditemui mati dipercayai dibaham harimau kumbang semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.33 malam.

Susulan itu, sepasukan penguat kuasa Perhilitan digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan pada pukul 9 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati sebanyak enam ekor kambing mati akibat serangan itu. Namun setakat ini Perhilitan tidak menemui kesan tapak kaki haiwan liar itu di lokasi,” katanya.

Menurutnya, bangkai kambing telah dilupuskan oleh pemiliknya, manakala baki ternakan dipindahkan ke kampung lain. Siasatan turut mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung tersebut.

“Pihak kami akan meneruskan siasatan dan tindakan memasang perangkap kamera dilakukan bagi mengenal pasti spesiesnya esok,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah memberitahu, satu laporan dibuat oleh penternak yang berusia 34 tahun.

“Kejadian disedari ketika dia mahu memeriksa keadaan 13 ekor ternakannya di dalam kandang sebelum mendapati lima ekor kambing mati, manakala satu lagi bangkai ditemui pada jarak 200 meter dari kandang.

“Kejadian ini adalah yang pertama kali berlaku dan pengadu mengesyaki perbuatan binatang liar iaitu harimau kumbang,” katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *