Enam ditahan kes curi Ferrari di kedai cuci kereta

gari

Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita disyaki terbabit kes kehilangan sebuah supercar jenis Ferrari yang hilang di sebuah pusat cucian kereta di sini, 17 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya menahan lima warga tempatan dan seorang warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Jelasnya, tangkapan itu dilakukan di beberapa lokasi serta masa berasingan sekitar daerah ini.

“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Lima lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta hasil ujian urin adalah negatif,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein memaklumkan pihaknya merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan jenayah terbabit

“Antara barangan yang dirampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, anak kunci lambang Ferrari dan Kia, satu beg silang, satu pasport Malaysia serta tali lanyard bersambung pisau berhulu.

“Selain itu, turut dirampas kereta Ferrari yang dilarikan, Naza Suria, BMW X5, BMW lain dan alat kawalan jauh kereta serta sebungkus plastik lutsinar dengan tulisan ‘Diamond’,” katanya.

Tambah Hussein, tiga suspek dibebaskan dengan jaminan, manakala dua suspek direman sehingga esok dan seorang lagi sehingga 3 Disember bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis sedang giat mengesan rakan sejenayah yang masih bebas dan meneruskan siasatan menyeluruh terhadap kes ini,”katanya.

Jelas beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-https://amiminerals.org/