SHAH ALAM – Pergerakan tanah di tepi bahagian longkang menjadi punca dua pekerja warga Bangladesh maut di tapak pembinaan Elmina Ridge Denai Alam U15, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, semasa kejadian terdapat tiga pekerja di lokasi kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian tiga pekerja sedang melakukan kerja pemasangan konkrit longkang.
“Secara tiba-tiba tanah di bahagian tepi longkang telah runtuh menyebabkan dinding konkrit longkang patah dan tertimpa ke atas salah seorang pekerja tersebut.
“Seorang lagi tertimbus dengan runtuhan tanah manakala seorang lagi pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 tersebut mengakibatkan dua pekerja kontrak warga Bangladesh berkenaan maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.
Justeru, kata Ramsay, sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Bukit Jelutong yang juga Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saipol Paizi Zainol di talian 012-578 1435.
Ketika ditanya sama ada lokasi kejadian ditutup sementara susulan insiden itu, beliau menjelaskan tapak pembinaan tersebut masih beropearsi sepetti biasa.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua pekerja pembinaan maut selepas tertimbus sedalam 0.3 meter dalam runtuhan tanah dan konkrit pembetung di tapak pembinaan Elmina Ridge, hari ini.
Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba dalam tempoh selang 13 minit antara satu sama lain bermula pukul 11.12 pagi. – https://amiminerals.org/