KOTA BHARU – Jangka hayat industri bas ekspres di negara ini didakwa dalam keadaan semakin kritikal apabila kebanyakan pengusaha menanggung bebanan hutang selain peningkatan kos operasi secara drastik.
Bekas Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) Laili Ismail berkata, kenyataannya pada Januari lalu berkaitan jangka hayat bas ekspres hanya mampu bertahan 10 bulan telah mengundang maklum balas negatif termasuk daripada pegawai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ada pegawai APAD menempelak saya apabila kenyataan tersebut tidak tepat dan industri bas ekspres masih bertahan walaupun hakikatnya ramai pengusaha dibebani hutang tidak berbayar termasuk untuk alat ganti.
“Malah ada pengusaha gagal bayar tunggakan hutang sejak Julai lalu dan situasinya ibarat hidup segan mati tak mahu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat dan Kesyukuran di Teluk Mesira, di sini semalam.
Kosmo! pada 29 Januari lalu melaporkan, Laili menyarankan kerajaan menambah baik pewartaan kategori atau spesifikasi harga tiket sedia ada melibatkan bas ekspres kelas ekonomi dan eksekutif bagi mengelakkan pengusaha bas menaikkan harga tambang sesuka hati.
Katanya, pelaksanaan penetapan harga itu perlu bagi mengelakkan lebih ramai pengusaha bas gulung tikar dan jangka hayat industri bas ekspres di negara ini hanya mampu bertahan dalam masa 10 bulan sekiranya perkara itu tidak dipantau oleh kerajaan.
Laili yang juga Pengarah Urusan Ekspres Perdana berkata, dia membuat kenyataan tersebut berdasarkan keadaan tiga syarikat miliknya, iaitu Ekspres Perdana, Rinaldi Ekspres dan Darul Iman Ekspres pada ketika itu.
“Ketika itu syarikat-syarikat saya sangat terkesan apabila pengusaha-pengusaha bas ekspres berlumba-lumba turunkan kadar tambang sedangkan kos operasi meningkat secara drastik yang akhirnya kerugian setiap bulan.
“Kerana itu juga kerajaan perlu segera memperbetulkan pengkelasan bas ekspres, iaitu menetapkannya mengikut spesifikasi tempat duduk 2+2 untuk kelas ekonomi dan 2+1 bagi kelas eksekutif berbanding penetapan mengikut jumlah tempat duduk ketika ini,” katanya.
Katanya, kaedah pengkelasan tidak tepat oleh APAD ketika ini menyebabkan ada pengusaha menambah sehingga 51 tempat duduk dengan spesifikasi 2+1 pada kadar harga kelas ekonomi dan ia tidak adil bagi mereka yang menyediakan 48 tempat duduk dengan spesifikasi sama pada kadar harga kelas eksekutif.
“Kadar tambang boleh kekal RM0.093 sen sekilometer bagi kelas ekonomi dan RM0.15 sen sekilometer bagi kelas eksekutif seperti ditetapkan 10 tahun lalu. Kita hanya mahu kerajaan betulkan pengkelasan bas ekspres,” ujarnya.