Elak burung helang punca imam masjid terbabas

IMAM NAHAS KEMALANGAN BURUNG HELANG

Jenazah Allahyarham Nurul Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar di Jalan Parit-Seri Iskandar dekat Parit pada pukul 2.30 petang semalam. – Foto LIYANA RAMLI / KOSMO!

LUMUT – Siasatan polis awal polis mendapati tindakan mengelak seekor haiwan liar di tengah jalan menjadi punca kenderaan dipandu seorang imam masjid terbabas di Kilometer 211.8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.33 petang itu, Imam Masjid As-Siddiq, Taman Iskandar Perdana, Seri Iskandar, Nurul Kamal Zulkanain, 37, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, memberitahu pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada pukul 4.35 petang.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati Perodua Kembara yang dipandu dipercayai telah hilang kawalan kerana mengelak haiwan dipercayai burung helang di atas jalan raya,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melambung masuk ke dalam kawasan pokok kelapa sawit di tepi lebuh raya berkenaan.

Katanya lagi, akibat kemalangan itu, pemandu yang memandu berseorangan telah tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau menjelaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd. Aziz di talian 019-8804450 atau 05-6899072.

Mangsa yang juga guru agama meninggalkan seorang isteri dan tiga anak termasuk yang baru berusia dua hari ketika kejadian dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar di Jalan Parit-Seri Iskandar semalam. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *