MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorin dijangka kembali menyenaraikan penyerang sensasinya, Marcus Rashford menjelang aksi suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Rashford dan dua lagi pemain, Alejandro Garnacho dan Jonny Evans disisihkan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang seteru setempat, Manchester City yang menyaksikan United meraih kemenangan 2-1, namun dijangka kembali ketika Amorim menggunakan sistem penggiliran pemain.
Menjelang perlawanan di gelanggang lawan itu, United mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Mason Mount yang mengalami kecederaan ketika menentang City, manakala Noussair Mazroui juga akan direhatkan.
Evans bakal menjadi pilihan untuk turun dalam kesebelasan utama di bahagian pertahanan menggantikan Mazroui yang akan diberikan rehat selepas turun dalam kesebelasan utama untuk enam perlawanan daripada tujuh aksi di bawah kendalian Amorim.
Amorim mengakui kejayaan menewaskan City sebelum ini adalah cukup penting buat United, namun berharap para pemainnya dapat mengekalkan momentum tersebut dengan meraih kemenangan ke atas Spurs untuk layak ke separuh akhir.
“Sangat penting untuk kami sentiasa meraih kemenangan. Buat masa ini, setiap kemenangan akan membantu kami melakukan tugasan dengan gembira.
“Apa sahaja yang berlaku, kami perlu teruskan momentum seperti ini. Kami perlu fokus untuk aksi menentang Spurs dan ia adalah sebuah kejohanan yang kami mahu memenanginya,” kata Amorim.
Sebagai rekod, United dan Spurs sudah bertemu sebanyak lapan kali dalam saingan EFL dan meraih tiga kemenangan selain hanya meledak tujuh gol sepanjang pertemuan tersebut sekali gus bukanlah rekod yang baik untuk skuad kendalian Amorim.
Bagaimanapun, kali terakhir pertemuan mereka dalam saingan tersebut adalah pada 2009 di mana United meraih kemenangan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dan kali terakhir Spurs meraih kemenangan pada kejohanan ini adalah pada 1998. – AGENSI