SELEPAS lebih tiga tahun ‘diperam’ gara-gara beberapa isu termasuk pandemik Covid-19, filem terbaharu Osman Ali berjudul Telaga Suriram mula menjengah pawagam bermula 1 Mei ini.
Sejujurnya, penulis meletakkan segunung harapan untuk filem ini membekas di hati, namun sayang seribu kali sayang, itu tidak berlaku. Osman selaku pengaruh bukan asing dalam galaksi filem seram atau thriller. Beliau pernah melahirkan beberapa karya yang diingati sehingga sekarang termasuklah Jwanita dan Puaka Tebing Biru.
Untuk Telaga Suriram, tidak banyak boleh digembar-gemburkan secara positif. Kendatipun, pujian untuk usaha Osman yang masih optimis melahirkan naskhah bertemakan horror atau thriller.
Visual lapuk
Dari sudut kualiti, banyak perihal yang boleh diperbaiki dan dikemaskan untuk Telaga Suriram.
Pertama sekali, visual dan sinematografi. Sudah tahun 2025, pengarah atau mereka yang bekerja untuk urusan tersebut umpamanya masih duduk di takuk lama.
Tidak mahu mengomel panjang, namun adegan ketika kereta dipandu watak dimainkan Farid (Zakir) dan Nabila Huda (Maimon) jatuh ke dalam sungai yang dalam, namun masih mampu berdiri atas ‘kedalaman’ kawasan tersebut sampai sekarang menjadi igauan dalam kepala.
Babak tersebut juga menggunakan kesan janaan komputer (CGI) dan dilaksanakan sangat poorly done. Dunia sekarang sudah bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI) dan apa dipaparkan umpama satu ‘kengerian’ berkunjung ke panggung disajikan teknologi yang lapuk.
Mesej
Bagaimanapun, dari segi jalan cerita, pujian harus diberikan kepada mereka yang terlibat. Terutama membabitkan mesej kepada audiens.
Kisah seorang kanak-kanak bernama Suriram yang kematiannya menjadi satu misteri dan rohnya bergentayangan mencari siapa yang bertanggungjawab menyebabkan pembunuhannya.
Dari satu sudut mengingatkan kepada kisah-kisah tragis negara melibatkan golongan kanak-kanak yang sehingga sekarang masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya seperti kes berprofil tinggi Allahyarham Adik Zayn Rayyan dan Nurul Jazlin.
Menyentuh soal terjemahan karakter, barangkali inilah satu-satu ‘penyelamat’ Telaga Suriram. Maya Karin, Nabila Huda, Scha Alyahya dan Farid Kami dalam satu bingkai, itu satu perkara yang ‘menang’ waima belum lagi bertemu penonton di panggung.
Farid sebagai Zakir juga membuktikan bahawa dunia politik itu satu gelanggang yang sangat kotor. Penjenayah juga mampu naik takhta dan memakai ‘topeng’ membantu rakyat.
Nabila yang memainkan watak Maimon walaupun tidak berdialog, membuktikan hanya dengan gerak tubuh, permainan emosi dan mimik muka, sesuatu kerja seni itu boleh dirasai audiens.
Secara keseluruhannya, Telaga Suriram adalah sebuah kisah seram yang berkelas B (sederhana), dilengkapkan barisan pelakon ‘papan atas’ Malaysia, namun terperangkap dengan jalan cerita klise dan teknologi (dibaca: visual) terbelakang.