Duit ghaib masuk pelaburan palsu

UTU GAMBAR HIASAN DUIT004 35 1

Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang mekanik kereta berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM900,000 selepas terjerat skim pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lelaki warga tempatan berusia 57 tahun itu mendakwa telah menyertai satu skim pelaburan saham selepas terlihat satu iklan di aplikasi Facebook pada 2 September lalu berdasarkan laporan polis diterima 12.06 pagi tadi.

“Mangsa mendakwa dia telah dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat sebelum menyatakan minatnya untuk melabur dalam sistem saham tersebut.

“Mangsa kemudian telah diterangkan berkenaan skim pelaburan saham tersebut dan bersetuju untuk melabur.

“Mangsa yang tertarik dengan skim pelaburan itu telah memindahkan wang ke dalam 10 akaun yang diberikan untuk tujuan pelaburan saham melalui 14 transaksi dengan jumlah RM 923,350,” katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Malik berkata, mangsa menyedari telah ditipu selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM400,000 sekiranya hendak mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.