LIPIS – Dua wanita maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 15, Jalan Lipis-Jerantut berdekatan Kampung Jeram Bungor di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu kereta, Nurshida Md Najib, 38, dan penumpang, Nurul Farhana Yahaya, 31. Kedua-dua mangsa bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati nahas pukul 2.30 petang itu berlaku ketika lori jenis Daihatsu yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Kampung Gemunchor, Mela untuk mengambil tayar.
“Kereta jenis Proton Saga yang dipandu Nursyida dan penumpang hadapan, Nurulfarhana pula dalam perjalanan dari SK Limau Purut menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Lipis bagi urusan kerja.
“Setibanya di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut bertembung. Nurshida yang berasal dari Pekan dan Nurulfarhana dari Jerantut disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Pemandu lori mengalami kecederaan pada rusuk sebelah kiri dan kelindan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan,”katanya kepada pemberita.
Siasatan berhubung kemalangan itu masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -https://amiminerals.org/