IPOH – Tindakan dua wanita memberi maklumat palsu untuk memohon kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran kanak-kanak membawa padah apabila ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.
JPN Perak dalam kenyataannya berkata, kedua-dua wanita itu ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaa JPN Perak dalam operasi terancang di kaunter JPN Sungai Siput semalam.
Katanya, pertuduhan ke atas dua wanita itu dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Siput dan mereka didenda masing-masing RM2,000 dan RM3,000.
“Kes pertama melibatkan seorang wanita yang ditahan kerana memberi maklumat palsu apabila menggunakan maklumat dirinya untuk permohonan kad pengenalan bagi seorang kanak-kanak.
“Wanita itu melakukan kesakahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan memerintahkan wanita itu dijel dua bulan jika gagal membayar denda,”katanya.
Kes kedua pula melibatkan seorang wanita yang ditahan kerana memberi maklumat palsu bagi daftar kelahiran seorang kanak-kanak dan disiasat di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
“Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM3,000 dan sekiranya gagal membayar denda dia boleh dipenjara selama tiga bulan penjara,”katanya. – https://amiminerals.org/