MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka hari ini mengesahkan penahanan reman dua anggota polis selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000, bulan lalu.
Pengarahnya, Adi Supian Shafie ketika dihubungi pemberita berkata, kedua-dua suspek berpangkat koperal dan lans koperal itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 26 dan 37 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Uthman Abd. Ghani.
Menurut sumber, suspek telah ditahan pada pukul 6.25 petang dan 6.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Katanya, pengadu yang juga seorang lelaki berusia 26 tahun membuat laporan kepada SPRM kerana tidak berpuas hati dipaksa membayar wang berjumlah RM20,000 kepada kedua-dua suspek.
Bayaran itu diminta atas tuduhan pengadu menjual dadah jenis mushroom vape sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian.- https://amiminerals.org/