SABAK BERNAM – Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Tali Air 5, Sekinchan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam, mangsa masing-masing melibatkan warga tempatan dan asing berusia 20an dan 42 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan turut menyebabkan seorang pembonceng wanita asing berusia 35 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika seorang daripada mangsa menunggang dari arah pekan Sekinchan.
“Setibanya di lokasi, motosikal itu dipercayai bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain.
“Dua mangsa lelaki berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam bagi proses bedah siasat,”katanya hari ini.
Jelasnya, pembonceng wanita yang parah pula dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi rawatan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md. Ali di talian 013-3328212 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,”katanya. – https://amiminerals.org/