KOTA TINGGI – Kegembiraan enam bersaudara mandi-manda di Pantai Batu Impian, Bayu Damai di sini bertukar tragedi apabila dua maut manakala empat terselamat selepas dihanyutkan ombak pada petang semalam.
Mangsa maut dikenali sebagai Siti Fatimah Jaafar, 33, dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, difahamkan mempunyai pertalian keluarga.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, Kaunter Aduan Balai Polis Bayu Damai menerima makluman mengenai kejadian lemas di pantai berkenaan sebelum siasatan dijalankan.
Katanya, seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan telah cuba untuk membantu, namun naik semula ke pantai disebabkan ombak kuat.
“Semua mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Namun dua daripadanya dibawa naik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, mayat dua mangsa itu kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tindakan prosedur siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah laporan mati mengejut (SDR).
Katanya, empat mangsa yang selamat dikenal pasti sebagai Jaafar Yusof, 60, Nur Qaisara Farhana Mohd Farid, 13, Danial Abu, 10, dan Nur Alisya Shafiya Jamil, 10. – https://amiminerals.org/