Dua lelaki Thailand dicekup lepas lima bulan seludup petrol

WhatsApp Image 2025 04 16 at 10.55.05 AM

Salah sebuah kereta Proton Waja diubah suai tangki untuk menyeludup petrol yang ditahan di ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN KPDN

TANAH MERAH – Taktik licik dua lelaki Thailand yang mengubah suai tangki minyak kereta untuk menyeludup petrol sejak lima bulan lalu terbongkar selepas mereka dicekup semasa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika masing-masing memandu dua buah kereta jenis Proton Waja.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pasukan penguat kuasa KPDN Kelantan membuat pemerhatian terhadap pergerakan kedua-dua buah kereta itu selama 45 minit menerusi Ops Tiris.

Menurutnya, pemandu kedua-dua kereta itu dikesan membuat pengisian petrol dalam keadaan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar Bukit Bunga di sini.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu semasa tiba di ICQS Bukit Bunga membawa kepada penemuan tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk menyeludup petrol ke Thailand.

“Tangki salah sebuah kereta itu mampu menampung sebanyak 125 liter petrol manakala sebuah lagi 120 liter yang dianggarkan bernilai lebih RM502,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman memberitahu, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku mereka sudah membeli kereta tersebut, namun pemilikan nama daripada pemilik asal tidak ditukar.

Menurutnya, mereka turut mengaku sudah menjalankan kegiatan tersebut sejak hampir lima bulan yang lalu.

“Kedua-dua buah kereta yang dianggarkan bernilai RM10,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki dan berurusan barang kawalan tanpa kebenaran sah. – https://amiminerals.org/