RANTAU PANJANG – Seorang lelaki bersama tiga warga Thailand iaitu isteri, wanita yang merupakan adik iparnya dan seorang lagi lelaki dicekup selepas mereka merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram Tok Awang Belulang di sini semalam.
Keempat-empat suspek ditahan kira-kira pukul 3.15 petang sebaik sahaja turun daripada bot dan menjejakkan kaki di kawasan pangkalan haram itu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, anggota PGA melihat sebuah bot dari sempadan Thailand menuju ke arah pangkalan haram tersebut semasa menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pengendali bot itu melarikan diri dengan meninggalkan empat penumpangnya sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA.
“Hasil siasatan lanjut, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama isteri, adik iparnya dan rakan mereka dengan ketiga-tiga mereka merupakan warga Thailand masuk ke negara ini melalui pengkalan haram.
“Ujian saringan air kencing mendapati, dua lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua lelaki itu dipercayai mengambil dadah tersebut di Thailand sebelum mereka menyeberang Sungai Golok ke negara ini.
Menurutnya, keempat-empat suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lagi warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 6(1) akta sama. – https://amiminerals.org/