Dua lelaki curi nasi lemak, sandwic didakwa esok

WhatsApp Image 2024 12 05 at 18.15.09

Gambar hiasan.

SUBANG JAYA – Dua lelaki yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini, pada Jumaat lalu akan dituduh di Mahkamah Shah Alam esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan pekerja kedai serbaneka berdepan detik cemas selepas disamun dua individu yang memakai baju hujan dan bertopi keledar Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pelanggan dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu.

“Salah seorang suspek masuk ke ruangan kaunter sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang dan beg yang berisi dokumen peribadi, kunci premis dan kunci motosikal.

“Seorang lagi suspek mengambil dua nasi lemak dan dua bungkus sandwich sebelum dimasukkan ke dalam beg dan melarikan diri,” katanya yang memberitahu nilai kerugian dianggarkan RM260.

Polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Subang Jaya menangkap dua suspek itu yang berusia 23 dan 24 tahun pada hari yang sama. Polis turut merampas barangan yang mempunyai kaitan dengan kes samun itu.

Mereka direman selama lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/