PETALING JAYA – Sebuah keluarga terpaksa melalui pengalaman pelik apabila makanan yang dipesan mereka menerusi khidmat penghantaran pada pukul 9 malam diterima kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Menerusi sebuah perkongsian menerusi Facebook oleh Nur Farina Abdullah, makanan mereka yang sampai pada pukul 12.30 tengah malam ternyata dihantar oleh dua beradik.
“Mereka buat kerja sama-sama, seorang bawa motor dan yang satu lagi galas beg penghantar makanan tersebut,” katanya.
Tambah Farina, adik-beradik tersebut memaklumkan bahawa mereka tidak begitu mahir dengan kawasan tersebut dan motosikal yang dibonceng pula mempunyai masalah.
“Perkara yang membuatkan mereka lewat kerana tayar motosikal mereka tiada angin dan mereka meminta untuk pinjam pam angin kami,” ujarnya.
Namun, melihat kegigihan adik-beradik tersebut membuatkan Farina terharu dengan semangat untuk mencari pendapatan yang halal.
Katanya, perasaan sayu itu ditutupi dengan rasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kerana kita tidak tahu kesusahan orang lain mencari rezeki. – https://amiminerals.org/