Dua anggota polis kena serang, dipukul ketika mahu solat

WhatsApp Image 2024 08 27 at 2.31.15 PM

Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki disyaki mempunyai masalah mental menyerang dan memukul dua anggota polis berhampiran Surau Kangkar Pulai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan.

Katanya, kejadian berlaku ketika anggota berusia 33 dan 59 tahun dari Balai Polis Kangkar Pulai itu mahu menunaikan solat zohor di sebuah surau di Kangkar Pulai.

“Dua anggota polis yang berpakaian seragam ketika kejadian diserang dan dipukul suspek berusia 28 tahun. Akibat serangan itu, mangsa berusia 59 tahun luka di muka, kaki dan tangan kanan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, keadaan berjaya dikawal selepas suspek ditangkap oleh kedua-dua anggota polis berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod pesakit psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru. Lelaki itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/