KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan berjaya menangkap dua ekor anak buaya tembaga yang ditemui berkeliaran di kawasan perumahan Taman Seri Damai dan Taman Inderapura Jaya, di sini semalam.
Reptilia itu dipercayai tersesat sebelum ditemui penduduk di kawasan terbabit yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak APM.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, Zahidi Zainudin, berkata pada mulanya pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.43 pagi daripada penduduk Taman Inderapura Jaya, mendakwa buaya di atas jalan di perumahan terbabit.
“Seramai lima anggota APM dikerahkan ke lokasi kejadian dan kemudiannya berjaya menangkap seekor anak buaya berukuran kira-kira dua meter,” katanya, di sini hari ini.
Menurut Zahidi, pihaknya kemudiannya pergi ke Taman Seri Damai selepas mendapat maklumat dari penduduk yang menemui seekor lagi anak buaya berhampiran rumahnya.
Katanya, anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap anak buaya yang dianggarkan berukuran tiga meter berkenaan.
Tambahnya lagi, kedua-dua ekor anak buaya berkenaan berjaya dipindahkan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya.
“Kemungkinan kedua-dua anak buaya tembaga itu tersesat selepas mengikut air sungai pasang dan kemudiannya gagal ke habitat asal.
“Kita tidak menolak kemungkinan dua anak buaya tembaga itu sebelum ini membesar dalam Sungai Belat sebelum tersesat selepas mengikut air pasang,” katanya. – Iteenews