Doktor 14 tahun pernah dapat rawatan psikiatri Mac lalu

WhatsApp Image 2024 08 12 at 4.16.47 PM

REMAJA perempuan berusia 14 tahun yang disyaki menceroboh dan menyamar sebagai doktor dibawa ke Mahkamah Majistret, Sepang, 9 Ogos lalu.

SEPANG – Polis mengesahkan ‘doktor’ perempuan berusia 14 tahun yang ditahan minggu lalu pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja itu didapati tidak menjalani rawatan susulan menyebabkan fikiran dan emosinya terganggu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh keluarga remaja perempuan tersebut ketika soal siasat dilakukan baru-baru ini.

“Kita akan mendapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) daripada pihak hospital. Kami difahamkan, remaja itu juga sudah tidak bersekolah,” katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.

Menurut Huseein, remaja itu akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Hussein berkata, siasatan turut mendapati, remaja itu didapati keluar masuk kawasan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dalam masa seminggu.

Ditanya sama ada siasatan polis menjurus kepada kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Hussein memberitahu, beliau tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut.

“Kita masih berbincang dengan pihak hospital terutama dalam urusan mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital itu terutama di kawasan sensitif,” katanya. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *