Dihempap pokok lepas dengar bunyi \’prap\’

pokok

ANGGOTA bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang berkhemah di Lubuk Beriang, Kampung Pagar Sasak di Lipis kelmarin.

LIPIS – Kegembiraan tujuh sahabat keluar memancing dan berkhemah di Lubuk Beriang, Kampung Pagar Sasak di sini sejak Jumaat lalu bertukar mimpi ngeri apabila khemah mereka dihempap pokok tumbang sehingga menyebabkan seorang meninggal dunia kelmarin.

Muhammad Fahmi Musa, 34, berkata, kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu berlaku ketika mereka berada di dalam khemah sebelum terdengar bunyi pelik disusuli sebatang pokok besar yang tiba-tiba tumbang.

Katanya, pokok tumbang itu kemudian menghempap dua rakan termasuk Mohd. Azliana Alias, 54, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lipis akibat mengalami pelbagai kecederaan (polytrauma).

Seorang lagi rakan mereka, Dzulkefli Aman, 44, dari Kampung Yain Kechau dekat sini mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang dirawat di hospital sama.

“Pada mulanya, kami fikir tiada seorangpun yang dihempap pokok tumbang itu, tetapi sebaik kanvas khemah diangkat, kami terkejut melihat dua rakan sedang terbaring kesakitan.

“Mereka mengalami kecede­raan di bahagian kaki serta pinggang. Arwah tidak tersepit pun, cuma banyak anggota badan yang cedera),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika cuaca baik tanpa ada sebarang hujan dan angin kencang.

Jelasnya lagi, lokasi perkhemahan berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai liputan telefon menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan bantuan.

“Tiga daripada kami kemudian berjalan kaki sejauh hampir dua kilometer meredah hutan untuk mendapatkan liputan telefon dan menghubungi pihak bomba serta polis untuk bantuan.

“Pasukan bomba tiba kira-kira pukul 11 pagi dan membawa dua rakan yang parah ke hospital. Tidak lama kemudian, kami di maklumkan arwah tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Mohd Azmi Ithnin, 43, berkata, mereka mula berkhemah sejak petang Jumaat lalu dan dijangka keluar daripada hutan berkenaan pada tengah hari Ahad.

“Pada awalnya, kami berkhemah berhampiran dengan sungai namun kira-kira pukul 11 malam (Sabtu) hujan turun. Walaupun tidak terlalu lebat, namun paras air sungai sedikit naik.

“Kira-kira pukul 2.30 pagi, kami berkemas dan beralih ke tapak lain untuk tidur. Keliling tapak baharu ada banyak pokok dan kami tiada pilihan,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, mereka tidak menyangka salah satu pokok yang ada berhampiran dengan tapak perkhemahan kelihatan hampir mati.

“Jika dilihat secara luaran pokok yang tumbang itu nampak elok, hidup dan berdaun hijau . Namun, apabila dilihat di bahagian dalam, batang pokok penuh anai-anai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat dari pihak bomba pada pukul 10.15 pagi yang memaklumkan kejadian dua mangsa cedera parah dihempap pokok.

“Lokasi kejadian merupakan kawasan sungai yang menjadi tempat penduduk kampung mencari ikan serta berkhemah.

“Mangsa telah pergi ke tempat kejadian bertujuan untuk memancing dan juga bermalam sebelum kejadian pokok tumbang itu,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *