TAMPIN – Polis kini sedang mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan gagal dihubungi keluarganya di daerah ini sejak semalam selepas menghilangkan diri minggu lalu bagi menenangkan diri di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, orang hilang (OH) berkenaan, Puteri Ellyana Natasha Abdullah, 18, telah dihantar ke tempat kerja oleh pengadu iaitu bapanya berusia 40an di sebuah restoran makanan segera di daerah ini pada pukul 2 petang, 22 Oktober lalu.
Bagaimanapun menurutnya, pada tarikh yang sama kira-kira pukul 11 malam, pengadu mendapati OH tiada di tempat kerja semasa ingin dijemput pulang ke rumah.
“Pengadu telah pulang ke rumahnya dan mendapati anaknya masih juga belum pulang, dan mengesyaki anaknya telah keluar dari rumah mengikut kenalannya ke Rawang, Selangor.
“Pengadu telah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Rawang, Selangor pada 23 Oktober lalu dan pada tarikh yang sama, anaknya telah dapat dihubungi dan memberitahu beliau kini berada di Pulau Pinang dan akan kembali setelah mendapat ketenangan diri,”katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan OH diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 064431999 atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hasmadi Haron (Timbalan Ketua Polis Balai Tampin) di talian 064411222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-https://amiminerals.org/