Dewan Rakyat: Ahli Parlimen diseru sokong kepengerusian AIPA 2025

WhatsApp Image 2024 12 12 at 20.16.24

Johari di Dewan Rakyat hari ini. – Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen diseru supaya menggembleng usaha demi memelihara kedaulatan, kestabilan, dan kemakmuran bersama dengan menyokong sepenuhnya kepengerusian Malaysia dalam ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, itu merupakan suatu platform untuk memperkukuh kesinambungan kerjasama antara badan-badan legislatif negara-negara anggota ASEAN.

Malah katanya, ia juga menjadi wadah untuk membincangkan isu-isu penting seperti kestabilan geopolitik, keterjaminan makanan, inovasi digital dan perkembangan tenaga boleh diperbaharui.

“Pada tahun hadapan, Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN. Di bawah tonggak legislatif, Parlimen Malaysia akan menjadi Presiden AIPA.

“Ruang dan peluang yang tersedia ini membolehkan Parlimen Malaysia memperkukuh hubungan Diplomasi Parlimen melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik, serta mencari penyelesaian secara bersama dalam menangani cabaran serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini.

Selain itu, Johari juga menekankan dua inisiatif baharu yang akan kita dilaksanakan pada Mesyuarat Pertama tahun hadapan iaitu yang pertama, jawapan bertulis daripada pihak Kementerian kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat akan diberikan secara terus melalui e-mel.

“Saya mohon agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat mengosongkan ruangan e-mel bagi mengelakkan
sebarang isu teknikal yang akan timbul dan dapat memastikan jawapan- jawapan bertulis ini dapat dihantar secara terus kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

“Kedua, kertas Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) yang akan diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat juga hanyalah melibatkan Bahagian Pertama iaitu Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan manakala AUM yang lengkap yang melibatkan Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan senarai Rang Undang-Undang dan Usul-Usul serta risalat-risalat yang diberikan secara fizikal sebelum ini akan dimuat naik ke e-risalat dalam laptop Ahli-Ahli Yang Berhormat serta di laman sesawang Parlimen Malaysia,” jelasnya.

Katanya, inisiatif yang bakal dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia ke arah mengamalkan paperless policy dan berkesinambungan daripada usaha- usaha green initiative yang diterap dalam persekitaran Parlimen Malaysia pada masa ini.

Terdahuhulu, mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas telah berlangsung selama 35 hari mulai hari Isnin, 14 Oktober 2024 hingga hari Khamis, 12 Disember 2024.

Pada Mesyuarat Ketiga ini, Dewan Rakyat telah meluluskan sebanyak 26 Rang Undang-Undang dan tiga Usul substantif.

Pada mesyuarat ini juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) telah membuat penerangan masing-masing berjumlah tujuh penerangan untuk Penyata-penyata PAC dan JKPK yang telah dibentangkan. – https://amiminerals.org/