Dewan Negara: Mohon Permit Khas jika mahu beli diesel melebihi had

WhatsApp Image 2024 12 12 at 17.30.07

Armizan di Dewan Negara hari ini. -Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Orang ramai, syarikat berskala kecil dan organisasi boleh memohon Permit Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tujuan pembelian diesel melebihi jumlah yang dihadkan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Permit Khas berkenaan boleh digunakan untuk membeli diesel daripada stesen minyak untuk sesuatu kegunaan yang dibenarkan selain dari tujuan jualan semula.

Beliau berkata, kemudahan itu terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari pembelian.

“Dalam hal ini, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan dari agensi yang berkaitan dan boleh mengemukakan permohonan melalui Sistem Permit Khas yang terkandung dalam portal KPDN,”katanya dalam sesi penggulungan bagi peringkat KPDN di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Armizan memaklumkan KPDN akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan seperti penyeludupan minyak masak di sempadan negara.

“Untuk makluman, sebanyak 3,064 aduan berkaitan ketirisan barang bersubsidi seperti minyak diesel, gas memasak, minyak masak dan lain-lain telah diterima oleh KPDN bermula 1 Januari 2024 sehingga
30 November 2024.

“KPDN telah melaksanakan Ops Tiris 1.0 yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2023 hingga 31 Ogos 2023 bertujuan untuk menangani isu ketirisan barang kawalan yang berleluasa,”jelasnya.

Katanya, bagi memastikan keberadaaan minyak masak paket bersubsidi di pasaran, KPDN telah memperkenalkan pelaksanaan mekanisme zoning iaitu pengedaran minyak masak bersubsidi mengikut negeri dan daerah yang mana agihan bekalan minyak dilaksanakan mengikut keperluan dan dapat dinikmati terus kepada pengguna.

“Pelaksanaan zoning kini telah bermula di negeri Sabah yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2024 manakala di negeri Sarawak telah bermula pada 1 November 2024.

“Zoning bagi negeri di Semenanjung akan bermula pada tahun 2025,”katanya. – https://amiminerals.org/