KUALA LUMPUR – Sebanyak 2.65 juta daripada 7.33 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 18 hingga 55 tahun mencapai simpanan asas setakat 31 Oktober tahun ini.
Difahamkan, simpanan asas ialah satu jumlah dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP supaya ahli memperoleh sekurang-kurangnya RM240,000 pada usia 55 tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia membolehkan ahli memperoleh jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan.
Namun, katanya, kesan daripada gandaan dividen tahunan menyebabkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada usia 75 tahun.
“Dalam usaha membantu ahli membina simpanan persaraan, KWSP telah menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke KWSP.
“Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa,”katanya ketika pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi Kerajaan dalam memastikan seseorang individu mempunyai jumlah simpanan dalam KWSP mencukupi untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan yang selesa selepas bersara.
Mengulas lanjut, Amir Hanzah berkata, setakat Oktober lalu, seramai 288,000 ahli aktif formal KWSP telah mendaftar dan mencarum melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja.
Selain itu, katanya, ahli KWSP juga boleh mencarum sendiri melalui caruman sukarela bagi menambah simpanan, tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun.
“Seramai satu juta ahli aktif telah membuat caruman sukarela setakat Oktober 2024, dengan jumlah caruman sebanyak RM11.16 bilion.
“Selain itu, melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman akaun persaraan yang bertujuan sebagai simpanan persaraan telah ditingkatkan sebanyak 75 peratus bagi mempercepatkan ahli mencapai simpanan asas,”jelasnya.
Tambahnya, melalui Belanjawan 2025, program i-Saraan akan ditambah baik dengan menaikkan insentif padanan daripada 15 kepada 20 peratus tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu.
Ujarnya, Program i-Suri juga diteruskan pada tahun 2025 tertakluk kepada had maksimum insentif padanan Kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup, atau mencapai usia 55 tahun. – https://amiminerals.org/