Derbi Milan: Inter enggan pandang enteng

INTER MILAN 1

INTER enggan terjerat dengan prestasi tidak menentu Milan ketika ini apabila fokus untuk memburu kemenangan pada aksi tersebut. – AFP

MILAN – Inter Milan dijangka berdepan aksi sukar menjelang derbi San Siro menentang musuh setempat, AC Milan dalam saingan Serie A yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok.

Biarpun dianggap berada dalam keadaan terbaik selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara, namun Inter tetap mengambil pendekatan berwaspada.

Jurulatih Inter, Simone Inzaghi percaya Milan masih merupakan antara pasukan terbaik dalam saingan Serie A biarpun pada ketika ini mereka sedang berdepan aksi tidak menentu apabila hanya mengutip lima mata selepas empat perlawanan.

“Apa yang pasti, perlawanan itu nanti merupakan satu derbi antara dua musuh setempat. Saya dan semua pemain tahu betapa pentingnya perlawanan itu untuk kelab dan penyokong-penyokong pasukan ini.

“Sudah tentu kami akan melakukan persediaan sebaiknya biarpun baru sahaja beraksi menentang City baru-baru ini. Kami perlu berikan fokus 100 peratus bagi memastikan tiga mata menjadi milik Inter,”katanya.

Dalam pada itu, Nerazzurri turut mendapat perkhabaran gembira apabila tonggak pertahanan, Federico Dimarco dilaporkan hampir pulih sepenuhnya dan dijangka dapat beraksi menentang Milan.

“Dimarco mungkin akan kembali berada dalam kesebelasan utama, namun kami tidak mahu tergesa-gesa dan mengambil risiko. Kami akan memantau keadaannya sebelum membuat keputusan,”ujar Inzaghi. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *