MELAKA – Seorang warga emas menemui ajal selepas menjemput cucunya pulang dari sekolah apabila motosikal yang dia tunggang terbabas sendiri di Jalan Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.35 petang itu, mangsa, Aman Awang Ngah, 70 yang juga pesara hospital meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC baru sahaja selesai menguruskan cucunya pulang dari sekolah di Ayer Molek.
“Selepas itu mangsa meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Beruang dan setiba di lokasi dia telah terbabas lalu jatuh berhampiran pembahagi jalan konkrit.
“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi nahas oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
“Kami meminta agar saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – Iteenews